- Buang bayi fenomena jahiliah moden
(Berita Harian, 14 Mac 2007)
SEJAK kebelakangan ini, kes membuang bayi makin berleluasa di mana-mana saja dan ia amat menggemparkan kerana sikap mereka terbabit yang tidak mempunyai belas ihsan dan tanggungjawab.
Bayi yang tidak berdosa ini kebanyakannya adalah hasil daripada perhubungan luar nikah dilakukan pasangan muda.
Al-Quran dan Sunnah acap kali mengingatkan betapa nilai hidup makhluk Allah. Jangankan manusia yang menjejak kaki di persada bumi, janin dalam perut ibu pun walaupun masih pada peringkat proses awal, bahkan binatang dan tumbuh-tumbuhan dilarang untuk dicabut hidup-hidup, kecuali berdasarkan ketentuan yang dibenarkan Allah.
Tanpa rasa belas kasihan, ibu atau pasangan yang terbabit sanggup membuang bayi ke dalam tong sampah, semak, dan di tepi sungai untuk mengelakkan diri mereka dikesan.
Manusia kini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan dalam tindakan.Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan daripada perhubungan haram dapat dirasai secara berulang kali tanpa ikatan sah.
Allah Taala berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 yang bermaksud: ‘Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua-dua jenis lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”
Anak adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai kepada pasangan manusia yang seharusnya lahir daripada ikatan perkahwinan yang suci kerana secara fitrahnya berhajat dan mengharapkan kurniaan itu.
Justeru, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya Al-Quran” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).
Banyak isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman jahiliah. Pada masa itu, mereka membuang bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga.Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat sekarang, jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anaknya, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab.” (Riwayat Bukhari).
Baru-baru ini Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menyatakan bahawa kes buang bayi adalah sebanyak 83 tahun lalu, meningkat berbanding 65 kes pada 2000. Selangor mencatat angka tertinggi iaitu 22 kes pada 2000 dan 24 kes pada 2006. Daripada jumlah 83 kes dalam tahun 2006 di seluruh negara, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.Hakikatnya pembuangan dan pembunuhan anak pada zaman jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin, tetapi perbuatan keji yang mereka lakukan itu kerana untuk menutup malu menimpa selepas berlaku perzinaan.
Pasangan lelaki dan wanita yang selalu dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran yang dilakukan terutama melahirkan bayi di luar nikah. Jika pada zaman jahiliah, mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden ini, anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.Banyak kajian menunjukkan kehamilan di luar nikah berpunca daripada keseronokan hidup yang berpaksikan kepada kepuasan nafsu seks semata-mata.Lebih malang lagi, kebanyakan bayi yang dibuang rata-ratanya bangsa Melayu, yang tentunya beragama Islam.
Kita rasa sedih kerana perbuatan jahiliah ini dilakukan oleh umat Islam sendiri yang sepatutnya membangunkan tradisi modal insan dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.Perbuatan terlarang dan terkutuk ini seolah-olah memberi label buruk kepada umat Islam, walaupun dilakukan oleh segelintir manusia.Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Sudahlah terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah sarap.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 36 bermaksud: “Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka.”Sepatutnya sebagai warga yang hidup di negara berdaulat, amat tidak wajar sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini kerana kita tidak lagi hidup pada zaman penjajah yang tertutup daripada ilmu kemanusiaan hingga menagih kefahaman tinggi dalam menginsafi diri sebagai insan dan hamba-Nya. Bahkan peluang terbuka luas kepada mereka memulakan penghidupan baru yang diredhai Allah dengan menghargai anak sebagai kurniaan Allah seterusnya menikmati kebahagiaan hidup di muka bumi Allah ini.
Peranan membendung gejala buang bayi bukan terletak di tangan pihak berkuasa dan jabatan agama saja. Ibu bapa perlu mempastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri-ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas dan sekular bukan jawapan untuk melahirkan modal insan terbaik di negara ini.